@razmanzakaria: Saya hadir bersama YB Dr Najihatussalehah Ahmad, Ahli Dewan Negeri Kawasan Bota dan YB Ustaz Zulfadhli, ADN Kawasan Slim yang juga merupakan Pengerusi Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Negeri Perak untuk turun ke lapangan di tapak yang kini telah diratakan bagi tujuan perindustrian di Seri Iskandar, Parit oleh sebuah syarikat yang diluluskan untuk diusahakan oleh sebuah GLC di negeri Perak. Kita tidak menolak pembangunan, namun tindakan yang kurang berhemah oleh pihak kerajaan dalam menyantuni 600 para peneroka dan pekebun kecil di sini menyebabkan mereka hilang punca pendapatan sekelip mata sahaja. Sebilangan besar para pekebun kecil ini terdiri daripada bekas anggota tentera dan orang kampung yang amat bergantung kepada hasil sawit bagi menampung kehidupan mereka. Kerajaan negeri Perak khususnya YAB Menteri Besar Perak dengan ini digesa bagi memastikan hak dan suara mereka didengari. Santunilah mereka dengan berhemah dan setimpal dengan apa yang mereka usahakan. Usah kerana mengejar keuntungan, nasib pekebun kecil ini terus dipinggirkan. Dengan ini, saya memberikan sokongan penuh kepada 600 pekebun kecil ini dan bersama-sama mereka dalam memperjuangkan hak mereka agar didengari dan seterusnya dapat ditunaikan oleh pihak yang bertanggungjawab.