fal :
﷽
Ya Allah, Tuhan yang membuka segala pintu kebaikan dan menentukan segala urusan, tiada sesuatu pun yang sukar bagi-Mu di langit dan di bumi. Ya Allah, lapangkanlah dada kami, tenangkanlah hati kami, dan permudahkanlah segala urusan kami dalam menghadapi peperiksaan ini. Jadikanlah setiap kesempitan itu jalan keluar, dan setiap kesukaran itu kemudahan dengan izin-Mu. Ya Allah, kami serahkan kepada-Mu segala ilmu yang telah kami pelajari. Kembalikanlah ilmu itu kepada kami ketika kami memerlukannya, janganlah Engkau jadikan kami lupa, dan kurniakanlah kami kefahaman yang jelas serta ingatan yang kuat. Ya Allah, terangilah akal fikiran kami, betulkanlah kefahaman kami, kurniakanlah kami ketelitian dalam berfikir dan ketepatan dalam menulis setiap jawapan dalam segala tujuan, ujian, peperiksaan, hal dan apa-apa sahaja. Ya Allah, berkatilah kami dalam semua mata pelajaran yang kami ambil, dalam bahasa, kiraan, sains, sejarah dan seluruh subjek yang kami pelajari sepanjang peperiksaan SPM ini. Ya Allah, ketika kami melangkah masuk ke dewan peperiksaan, tetapkanlah hati kami dengan ketenangan dan keyakinan. Ketika kami membaca soalan, berilah kami kefahaman, dan ketika kami menjawab, bimbinglah kami ke arah jawapan yang terbaik. Ya Allah, jauhkanlah kami daripada rasa gementar, cemas dan takut, hindarkanlah kami daripada lupa dan keliru. Gantikanlah semua itu dengan ketenangan, kesabaran dan tawakal yang penuh hanya kepada-Mu. Ya Allah, jadikanlah kejayaan kami kejayaan yang Engkau redhai. Jadikanlah kami dan sahabat-sahabat kami daripada kalangan yang berjaya, serta jadikanlah kejayaan ini sebagai kebaikan dan kebanggaan untuk ibu bapa, guru-guru dan keluarga kami. Ya Allah, bukakanlah untuk kami pintu masa depan yang baik, berkatilah langkah kami selepas peperiksaan ini, dan jadikanlah ilmu yang kami pelajari ilmu yang bermanfaat di dunia dan di akhirat... Amin Yarabbal Alamin 🤲🏻
2026-01-14 08:50:15