اکاونت تيدق دتموي :
Dari semua kejadian yang telah berlaku, dari semua yang datang lalu pergi, dari semua luka yang akhirnya tertinggal, aku tidak lagi menyalahkan sesiapa. Aku hanya menyalahkan diriku sendiri. Kadang-kadang aku tertanya, mungkin memang kehadiranku tidak pernah membawa bahagia seperti yang aku harapkan. Mungkin tanpa sedar, aku hanya menjadi beban dalam hidup orang lain.
Aku selalu datang dengan niat yang baik. Aku hadir dengan hati yang tulus. Aku cuba memberi yang terbaik semampuku. Aku cuba menjadi tempat pulang ketika mereka lelah, menjadi pendengar ketika mereka terluka, menjadi orang yang sentiasa ada ketika mereka memerlukan seseorang. Namun entah mengapa, pada akhirnya aku tetap menjadi orang yang ditinggalkan.
Kadang-kadang aku terfikir, mungkin aku terlalu banyak berharap. Mungkin aku terlalu mengambil berat sehingga kehadiranku terasa membebankan. Mungkin kasih sayang yang aku berikan terlalu berlebihan sehingga akhirnya tidak lagi dihargai. Atau mungkin memang aku tidak pernah cukup baik untuk dipertahankan.
Yang paling menyakitkan bukanlah ketika orang memilih untuk pergi. Tetapi ketika aku mula mempersoalkan nilai diriku sendiri kerana kepergian mereka. Aku mula bertanya kepada diri sendiri apa yang kurang pada aku. Apa yang salah pada aku. Kenapa setiap kali aku cuba menjadi yang terbaik untuk seseorang, akhirnya aku juga yang kehilangan.
Aku melihat orang lain mampu menjadi alasan seseorang bertahan, sedangkan aku seolah-olah hanya menjadi alasan untuk mereka menjauh. Aku melihat orang lain dihargai kerana kehadiran mereka, sedangkan aku sering merasa seolah-olah kehadiranku hanya menambah beban dalam hidup orang yang aku sayang.
Malam demi malam aku memikirkan semua itu. Mencari jawapan yang mungkin tidak akan pernah aku temukan. Mengulang kembali setiap kenangan dan setiap kesalahan yang pernah aku lakukan. Berharap jika aku lebih baik sedikit, lebih kuat sedikit, atau lebih sempurna sedikit, mungkin semuanya tidak akan berakhir seperti ini.
2026-05-31 04:59:55