اکاونت تيدق دتموي :
Yang berlalu, biarlah berlalu. Tak semua yang pergi perlu kembali, dan tak semua yang kembali layak diberi ruang sekali lagi. Jangan datang hanya kerana alasan rindu, kerana rindu itu mudah hadir ketika sunyi, tetapi belum tentu hadir bersama keikhlasan untuk menghargai.
Ingatkah kamu, betapa hinanya aku di matamu waktu itu? Saat aku berjuang mempertahankan kita, kamu memilih untuk merendahkan perasaan yang aku bawa dengan penuh ikhlas. Air mata aku dulu bukan sandiwara, luka yang aku tanggung juga bukan sesuatu yang boleh sembuh dalam sekelip mata. Aku belajar menerima kenyataan bahawa tidak semua orang yang kita sayang akan menjaga hati kita seperti mana kita menjaga hati mereka.
Hari ini, kalau kamu datang semula dengan kata-kata rindu, maaf... rindu sahaja tidak mampu menghapuskan semua luka yang pernah kau tinggalkan. Aku sudah penat mengutip serpihan hati yang hancur kerana percaya pada janji yang akhirnya tidak bermakna. Aku memilih untuk terus melangkah, bukan kerana sudah membenci, tetapi kerana aku akhirnya belajar menghargai diri sendiri.
Terima kasih atas segala yang pernah terjadi. Luka itu memang menyakitkan, tetapi daripadanya aku belajar bahawa tidak semua yang kita cintai ditakdirkan untuk bersama. Maka biarlah kenangan kekal sebagai kenangan. Aku tidak lagi menunggu, dan aku tidak lagi berharap. Semoga kita sama-sama menemukan bahagia, tetapi bukan lagi dalam cerita yang sama.
2026-06-27 01:31:34