اکاونت تيدق دتموي :
Tak ada orang baru. Tak juga berniat untuk kembali kepada kisah lama. Dan buat masa ini, hati ini tidak menyimpan rasa pada sesiapa. Bukan kerana sudah tidak percaya pada cinta, tetapi kerana sedang belajar menikmati fasa hidup sendiri.
Sunyi memang ada. Namun sunyi ini bukan lagi sesuatu yang menyakitkan. Sunyi yang mengajar aku mengenal diri, memperbaiki hati, dan berdamai dengan segala yang pernah berlaku. Tiada lagi kekeliruan, tiada lagi menunggu mesej yang tidak kunjung tiba, tiada lagi memaksa diri untuk mempertahankan seseorang yang tidak pernah benar-benar memilih untuk kekal.
Kini aku lebih menghargai ketenangan daripada hubungan yang penuh tanda tanya. Lebih rela sendiri daripada bersama seseorang yang membuatkan aku sentiasa rasa tidak cukup, tidak dihargai, dan tidak pasti di mana letaknya aku dalam hidupnya.
Aku cuma berdoa, jika suatu hari nanti Allah mengizinkan aku jatuh cinta lagi, biarlah hati ini jatuh pada orang yang tepat. Seseorang yang hadir dengan niat yang baik, yang usahanya lahir tanpa perlu dipaksa, yang kata-katanya seiring dengan tindakannya. Seseorang yang sudah selesai dengan masa silamnya, supaya dia tidak menghukum orang baru atas luka lama.
Aku tidak meminta yang sempurna. Cukuplah seseorang yang memilih untuk tetap tinggal ketika keadaan berubah. Yang memilih aku bukan kerana kesunyian atau kebosanan, tetapi kerana dia benar-benar ingin membina masa depan bersama. Yang membuatkan aku rasa tenang, bukan sentiasa tertanya-tanya.
Kalau benar cinta itu akan datang lagi, biarlah ia menjadi cinta yang mendekatkan kami kepada Allah. Cinta yang penuh kejujuran, kesetiaan, dan rasa saling menghargai. Cinta yang tidak mudah berubah hanya kerana ujian, jarak, atau keadaan.
Sehingga hari itu tiba, aku tidak mahu tergesa-gesa. Aku percaya, apa yang Allah takdirkan tidak akan pernah tersalah alamat. Dan jika seseorang itu benar untukku, dia akan datang pada waktu yang paling tepat, dengan cara yang paling indah, tanpa perlu aku mengejar atau memaksa.
2026-06-30 11:36:05