@utvmediamalaysia: Dana Lebih RM50,000 Diperlukan Bantu Penyanyi Veteran Jessy Jalani Rawatan di India KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Penyanyi rock veteran India Malaysia, Jessy, yang pernah mencipta nama sebagai antara artis rock wanita India terawal di Asia, kini memerlukan bantuan orang ramai bagi membiayai kos rawatan di India selepas keadaan kesihatannya semakin merosot. Rayuan itu disuarakan oleh Datuk Dr. Kalyana ketika melancarkan Tabung Dana Kebajikan bagi membantu Jessy mendapatkan rawatan lanjut di luar negara. Menurut beliau, Jessy yang suatu ketika dahulu terkenal dengan persembahan pentas yang bertenaga dan berjaya mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa kini berdepan penyakit serius sehingga terpaksa berulang-alik mendapatkan rawatan di hospital. “Dulu dia begitu aktif di pentas dan mampu mempersembahkan aksi yang luar biasa. Tetapi kini, disebabkan masalah kesihatan, kita perlu membantu beliau. “Beliau sudah beberapa kali mendapatkan rawatan di hospital di Malaysia, namun keadaannya masih belum menunjukkan perkembangan yang diharapkan. Oleh itu, beliau akan mendapatkan rawatan lanjut di India,” katanya pada sidang media. Beliau berkata, Jessy dianggarkan memerlukan lebih RM50,000 bagi menampung kos rawatan, termasuk kemungkinan menjalani pembedahan serta kos penginapan dan rawatan selama kira-kira tiga hingga empat bulan di India. Selain itu, kos awal seperti tiket penerbangan dan urusan perjalanan dianggarkan mencecah antara RM8,000 hingga RM10,000, yang menurutnya kini didahulukan menggunakan wang sendiri. “Saya bukan wakil rakyat, bukan Ahli Dewan Undangan Negeri atau menteri. Saya hanya membantu menggunakan hasil perniagaan sendiri kerana percaya kebajikan insan perlu dibantu. “Hari ini dia yang sakit, esok lusa kita tidak tahu siapa pula yang akan diuji,” katanya. Dalam masa sama, beliau melahirkan rasa kecewa terhadap sikap sebahagian persatuan artis yang didakwa kurang memberi perhatian terhadap kebajikan artis veteran yang pernah berjasa mengharumkan nama negara. “Kita ada banyak persatuan artis, termasuk dalam kalangan masyarakat India. Tetapi apabila seorang artis yang pernah mengharumkan nama negara memerlukan bantuan, saya tidak nampak langkah yang benar-benar positif untuk membantu mereka,” katanya. Bagi mengumpul dana tersebut, satu Malam Amal Kebajikan Jessy akan diadakan pada 16 Oktober 2026, bermula 6 petang hingga 11 malam di Auditorium Tan Sri K.R. Soma, Wisma Kumpulan Sentul, Kuala Lumpur. Program itu bakal menampilkan persembahan artis Melayu, India dan Tamil, selain menyediakan jamuan makan kepada para penyumbang. Orang ramai boleh menyumbang melalui pembelian pas sumbangan berharga RM200 dan RM150. Penganjur turut menyediakan pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk rantai emas, cincin emas, barang kemas, televisyen, mesin basuh serta pelbagai hadiah elektrik lain. Datuk Dr. Kalyana berharap masyarakat tanpa mengira kaum tampil memberikan sokongan kepada Jessy yang telah banyak berjasa dalam industri hiburan negara. “Ini adalah artis negara kita. Beliau pernah mengharumkan nama Malaysia di peringkat Asia. Saya berharap orang ramai dapat membeli pas sumbangan dan bersama-sama membantu beliau mendapatkan rawatan yang diperlukan. “Semoga selepas menjalani rawatan di India, beliau dapat kembali sihat dan menghiburkan peminat seperti dahulu,” katanya. Sesiapa ingin melakukan sumbangan dan pas tiket boleh hubungi di 018 591 7976 @Dato' Dr. Kalai Vanar
UTVMediaMalaysia
Region: MY
Thursday 06 August 2026 06:09:45 GMT
Music
Download
Comments
Sivam Saroja437 :
🙏🇲🇾🫰🫰🫰🫰🫰👍👍👍👍👍👌👌👌👌👌
2026-08-06 07:52:57
0
To see more videos from user @utvmediamalaysia, please go to the Tikwm
homepage.