@mediaselangor: Pemilihan Batu Laut, Kuala Langat sebagai salah satu venue Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 bagi acara pelayaran disambut baik warga setempat yang melihat penganjuran temasya itu sebagai peluang memperkenalkan daerah berkenaan kepada pengunjung dari seluruh negara. Acara pelayaran yang sememangnya sinonim dengan kawasan Batu Laut, berlangsung di Pusat Latihan Perahu Layar, sekali gus menarik perhatian penduduk tempatan untuk hadir menyaksikan aksi atlet yang bertanding. Bagi warga Kuala Langat, pemilihan kawasan berkenaan sebagai venue SUKMA membangkitkan rasa bangga, selain membuktikan Batu Laut mempunyai kemudahan serta persekitaran yang sesuai untuk penganjuran acara pelayaran bertaraf kebangsaan. Selain menjadi pentas persaingan atlet terbaik negara, penganjuran SUKMA di Batu Laut turut menjadi platform memperkenalkan Kuala Langat sebagai antara lokasi yang berpotensi untuk pembangunan sukan pelayaran serta aktiviti pelancongan pada masa hadapan.