@serembanpage: Jambatan yang menghubungkan Batang Benar dengan kawasan perindustrian Nilai 7 dibina khusus untuk kenderaan ringan sahaja, dengan had ketinggian kenderaan tidak melebihi 2.5 meter. Bagi memastikan peraturan ini dipatuhi, besi penghadang ketinggian juga telah dipasang di kedua-dua laluan. Namun begitu, baru-baru ini terdapat sebuah lori yang telah melanggar besi penghadang tersebut. Perkara ini perlu dielakkan bagi memastikan keselamatan pengguna serta mengelakkan kerosakan terhadap jambatan baharu berkenaan. Jambatan tersebut sememangnya tidak direka untuk menampung kenderaan berat. Saya memahami bahawa kebanyakan pemandu lori bergantung kepada aplikasi seperti Waze dan Google Maps untuk mendapatkan panduan perjalanan. Kemungkinan maklumat mengenai had ketinggian dan larangan kenderaan berat di laluan tersebut masih belum dikemas kini. Sehubungan itu, saya akan menghubungi pihak-pihak yang berkaitan untuk memastikan maklumat mengenai had ketinggian 2.5 meter serta larangan kenderaan berat di jalan tersebut dimasukkan dan dikemas kini dalam aplikasi navigasi berkenaan. Kerjasama semua pihak amat penting supaya kejadian lori melanggar penghadang tidak berulang dan jambatan ini dapat digunakan dengan selamat oleh kenderaan ringan seperti yang telah ditetapkan.