@beritartm: KUALA LUMPUR, 18 September – Individu yang terlibat dalam insiden pertelingkahan dengan penumpang di Stesen Labu pada 15 September lalu, bukan kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Sebaliknya, KTMB memaklumkan individu terbabit merupakan kakitangan syarikat kontraktor yang dilantik untuk menjalankan perkhidmatan di stesen berkenaan. Insiden berlaku susulan gangguan perkhidmatan KTM Komuter laluan Batu Caves–Pulau Sebang selepas sebuah tren terlanggar seekor babi di antara Batang Benar dan Labu. Kira-kira 300 penumpang diturunkan di Stesen Labu untuk meneruskan perjalanan menggunakan tren berikutnya, dengan kelewatan sehingga 125 minit daripada jadual asal. Susulan kejadian, pihak kontraktor menggantung tugas individu berkenaan berkuat kuasa serta-merta sementara siasatan terperinci dijalankan. Insiden berkenaan sebelum ini tular di media sosial menerusi rakaman video yang memaparkan pertelingkahan antara seorang petugas dan penumpang di Stesen Labu. KTMB menegaskan pihaknya memandang serius kejadian itu dan tidak berkompromi terhadap sebarang tindakan atau tingkah laku tidak profesional ketika berurusan dengan penumpang. Penerbit: Rekha Sevaloga Nathan Sumber Berita: Kenyataan KTM Sumber Foto/Video: Orang Awam 'Yang sahih di RTM' #RTM #BeritaRTM #MalaysiaMadani #TaatSetia #BersamaMALAYSIAKU #RancakkanMADANI #MADANIBekerja