@sy4.n4: Sekarang, aku rindu dia, aku menangis. Aku kecewa dengan dia, aku menangis. Aku marah dengan dia pun, akhirnya aku menangis. Mungkin semakin lama aku rasa seperti ditinggalkan, semakin mudah hati aku terasa dengan sikapnya. Bukan kerana aku sengaja mahu terlalu sensitif, tetapi kerana aku masih peduli. Kadang-kadang, orang yang paling kita sayang juga menjadi orang yang paling mudah membuat hati kita terluka. Ada masanya kita terpaksa berhenti mengambil tahu tentang seseorang, bukan kerana kita sudah tidak mahu peduli, tetapi kerana kita sedar keadaan kita sudah tidak seperti dulu. Rindu? Tipulah kalau kata tak rindu. Terlalu banyak kenangan yang pernah kita lalui bersama, terlalu banyak perkara kecil yang pernah menjadi sebahagian daripada hidup kita. Mana mungkin semuanya hilang begitu saja? Tetapi sampai satu tahap, kita perlu belajar mengikhlaskan apa yang tidak mampu kita kawal dan menerima kenyataan tanpa terus memaksa hati untuk memahami semuanya. Waktu pula semakin hari terasa semakin singkat. Tak terasa hari sudah petang, tak terasa seminggu berlalu, dan tiba-tiba kita sedar sudah bertahun masa berjalan. Sungguh, hidup ini terlalu cepat berlalu. Sebab itu, jangan terlalu lama menghabiskan waktu dengan memikirkan sesuatu yang belum tentu boleh kita ubah. Kita masih ada hari ini, masih ada diri sendiri yang perlu dijaga dan masih banyak perkara yang Allah izinkan untuk kita nikmati dan syukuri. Kadang-kadang kita terlalu sibuk menjaga hati dan perasaan orang lain sampai hati sendiri kita abaikan. Penat sebenarnya apabila terlalu memikirkan perasaan semua orang, sedangkan diri sendiri diam-diam terluka. Tak salah untuk memahami, bertolak ansur dan cuba menjaga hati orang lain, tetapi ada masanya kita juga perlu belajar kasihan pada diri sendiri. Allah menciptakan kita dengan hati dan perasaan, jadi hati kita juga layak untuk didengar dan dijaga. Aku jenis yang bila terasa hati dengan seseorang, aku lebih banyak memilih untuk diam dan memendam. To be honest, menjaga hati orang bukan sesuatu yang mudah. Kadang-kadang sampai hati sendiri terpaksa ditolak ke tepi kerana terlalu takut menyakiti orang lain. Ada masa rasa macam mahu pentingkan diri sendiri pun, tetapi tak sampai hati. Namun aku sedang belajar bahawa menjaga diri sendiri bukan bermaksud aku pentingkan diri. Ada beza antara mementingkan diri dan menghargai diri sendiri apabila hati sudah terlalu penat. Dunia ini hanya sementara. Aku sedar pertemuan dan perpisahan memang sebahagian daripada kehidupan. Tetapi walaupun kita tahu semuanya hanya pinjaman daripada Allah, sesetengah perpisahan tetap meninggalkan luka dan air mata. Jadi kalau hari ini aku masih menangis kerana seseorang yang aku sayang, mungkin itu bukan tanda aku lemah. Mungkin aku cuma sedang belajar menerima bahawa sesuatu yang pernah begitu bermakna dalam hidup aku memang tidak mudah untuk dilupakan. Aku tak tahu apa yang akan berlaku selepas ini. Untuk sekarang, aku cuma mahu belajar menjaga hati sendiri, menerima apa yang Allah aturkan dan percaya bahawa setiap rasa yang hadir ada sebabnya. Kalau belum mampu melepaskan, tak mengapa. Cukup belajar untuk tidak kehilangan diri sendiri dalam proses mencintai seseorang. 🤍

☾
Open In TikTok:
Region: MY
Saturday 19 September 2026 00:55:05 GMT
186
14
0
1

Music

Download

Comments

There are no more comments for this video.
To see more videos from user @sy4.n4, please go to the Tikwm homepage.

Other Videos


About