halijah 24 :
Ya Allah, kami sedar bahawa suatu hari nanti kami akan berdiri di hadapan-Mu. Tiada sesuatu pun yang dapat kami sembunyikan daripada-Mu. Engkau mengetahui apa yang kami lihat, apa yang kami dengar, dan apa yang tersimpan di dalam hati kami.
Ya Allah, jadikanlah air mata yang mengalir ini sebagai saksi bahawa kami tidak pernah melupakan saudara-saudara kami di Palestin. Jadikanlah mata kami menjadi saksi bahawa kami menangis kerana mengingati mereka. Jadikanlah telinga kami menjadi saksi bahawa kami mendengar rintihan dan tangisan mereka. Jadikanlah tangan kami menjadi saksi bahawa kami menggunakannya untuk menulis, berkongsi dan mengajak manusia agar terus mendoakan saudara-saudara kami di Palestin. Jadikanlah lisan kami menjadi saksi bahawa kami sentiasa menyebut nama-Mu dan memohon pertolongan-Mu untuk mereka.
Ya Allah, jika suatu hari nanti kami berdiri di hadapan-Mu, dengan rahmat dan kasih sayang-Mu, izinkanlah kami berkata bahawa kami tidak pernah melupakan saudara-saudara kami di Palestin. Kami mungkin tidak mampu berada di sisi mereka, kami mungkin tidak mampu mengubati luka mereka, tetapi kami tidak pernah berhenti mengangkat tangan memohon kepada-Mu. Kami sentiasa mendoakan mereka, mengajak orang lain untuk turut berdoa, dan berusaha mengingatkan manusia agar tidak melupakan penderitaan saudara-saudara kami yang beragama Islam. Terimalah segala usaha kami yang sedikit ini sebagai amal yang ikhlas kerana-Mu.
Ya Allah, lindungilah kami daripada azab-Mu. Ampunkanlah segala dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, ahli keluarga kami dan seluruh umat Islam, sama ada yang masih hidup mahupun yang telah kembali kepada-Mu. Sesungguhnya kami datang kepada-Mu dengan penuh harapan dan penuh rasa takut akan azab-Mu. Maka janganlah Engkau biarkan kami pulang kepada-Mu tanpa keampunan dan rahmat-Mu.
Ya Allah, matikanlah kami dalam husnul khatimah, dalam iman dan Islam. Tetapkanlah hati kami di atas jalan yang Engkau reda sehingga ke akhir hayat kami. Satukanlah kami kelak bersama junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para nabi, para siddiqin, para syuhada dan orang-orang yang soleh di dalam syurga-Mu.
2026-10-07 15:09:01