@astroaudionews: #BERSATU mendakwa keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) membuktikan kepimpinan gabungan itu telah melanggar Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan parti berkenaan. Setiausaha Agung BERSATU Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu mengesahkan aduan parti berkenaan berhubung tindakan kepimpinan PN menafikan hak BERSATU untuk menghadiri, memberi pendapat dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lepas. Beliau berkata, BERSATU sebelum ini telah memberikan keterangan dan bukti kepada RoS pada 18 Ogos susulan aduan yang dikemukakan pada 11 Ogos, bagi memastikan gabungan itu diurus secara telus, berintegriti dan mematuhi peruntukan undang-undang. Azmin berkata BERSATU akan meneliti keputusan penuh RoS sebelum membincangkan langkah seterusnya dalam Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu, termasuk usaha membina semula keyakinan rakyat terhadap gabungan politik berkenaan. Terdahulu, RoS mengesahkan keputusan membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu. #AstroAudioNews