@mawardahlia90: Kayden seolah-olah kehilangan fungsi lidah. Tiada satu suku kata pun yang mampu meluncur keluar dari kerongkongnya yang tiba-tiba terasa kesat. Sepasang matanya terkunci rapat pada setiap inci wajah di hadapannya—kulit yang bersih, hidung yang terletak elok, dan bibir yang tidak berhenti menghadiahkan ketenangan. Sepanjang hidupnya mengembara di celah-celah kota, dikelilingi puluhan wanita bergaya, belum pernah ada satu rupa yang mampu membuatkan dadanya sesak sebegini rupa. "Kayden…" Panggil Sufie lagi, kali ini kepalanya disengetkan sedikit. Lelaki itu tetap membatu. Angin senja yang menyelinap masuk dari celah tingkap langsung tidak dihiraukan. Melihat suaminya yang tegak seperti patung, Sufie bangkit. Langkah diatur mendekat. "Kayden!" Suaranya dinaikkan satu oktaf, tepat di depan dada lelaki itu. Kayden tersentak, bahunya terangkat sedikit. "Apa? Eh, kau ni… tak baiklah jerit-jerit dekat aku macam tu. Aku kan suami kau," bidasnya laju. Dia segera melarikan anak mata ke arah almari baju, cuba menyembunyikan getar pada suara seolah-olah tidak terkesan dengan kejelitaan si isteri. Namun, kehangatan yang mula menjalar ke cuping telinganya tidak dapat berbohong. Sufie menjungkitkan kening sebelah. "Eh, kita pula yang kena marah? Saya dah panggil baik-baik tadi. Awak yang melamun entah ke mana." Sufie memusingkan tubuh, kembali menghampiri sejadah untuk memperbetulkan kedudukannya yang sedikit senget. "Aku penat, sebab itu telinga ni kurang berfungsi. Abi suruh aku layan haji mana entah kat bawah tadi," dalih Kayden bersahaja. Dia berdeham kecil, merapatkan kedua-dua telapak tangan ke dalam saku seluar untuk menyembunyikan tangannya yang mula berpeluh. Sufie sekadar mengangguk faham, bertenang. "Dah ambil wuduk? Boleh tolong imamkan saya untuk Maghrib ni?" Soalan itu bagai satu batu besar yang menghentam kepala Kayden. Jantungnya kembali berdegup kencang, kali ini dengan rentak panik. Dia teringat kembali helaian surah yang baru dihafalnya beberapa hari lepas. Merangkak-rangkak. Malah sepanjang tempoh itu, dia lebih banyak culas daripada mencuba. Bagaimana mungkin seorang lelaki yang solatnya sendiri masih compang-camping mahu menjadi ketua di hadapan wanita sebersih Sufie? "Kau solat dulu lah. Aku solat dekat bawah dengan Am dan yang lain-lain," ujarnya senada, cuba berlagak selamba. Namun, ekor matanya sempat menangkap seraut wajah Sufie. Sukar sungguh untuk dia memalingkan wajah sepenuhnya. "Ya ke? Bukan ke Abi, Am dengan yang lain semuanya dah bertolak ke masjid tadi? Awak nak menyusul ke sana juga ke?" Sufie memalingkan tubuh, memandang suaminya dengan renungan yang redup namun penuh tanda tanya. Kayden kelu. Otaknya berpusing ligat mencari alasan baru. Dia langsung tidak tahu rancangan orang tua itu. Dia hanya fikir mahu cepat-cepat naik ke bilik untuk melihat isterinya, langsung tidak menghiraukan keadaan sekeliling. Tangan kanannya naik menggaru tengkuk yang tidak gatal. "Sufie, aku…" Kata-katanya mati di pertengahan jalan sebaik sahaja anak matanya bertembung dengan sepasang mata bundar milik Sufie. Sufie tersenyum nipis, seolah-olah sudah membaca segala gundah-gulana yang berselindung di sebalik wajah tampan itu. "Awak takut tersilap bacaan, kan? Sebab selama ni awak tak ikut pun syarat yang saya tetapkan? Betul?" Soalan Sufie lurus, namun nadanya sangat lembut, langsung tidak kedengaran seperti satu tuduhan.
Mawar Dahlia
Region: MY
Monday 02 November 2026 10:36:15 GMT
Music
Download
Comments
There are no more comments for this video.
To see more videos from user @mawardahlia90, please go to the Tikwm
homepage.